Paul Erdos adalah seorang yang pelik. Dia hidup dengan hanya dua beg pakaian, tidak pernah belajar memasak makanannya sendiri, bekerja sehingga 19 jam sehari, dan menyerahkan hampir semua wang yang dia perolehi.
Erdos juga merupakan ahli matematik paling prolifik pada abad ke-20. Beliau menulis dan mengarang bersama lebih 1500 penulis artikel matematik semasa kerjayanya dan bekerjasama dengan lebih 500 rakan usaha sama. Sumbangan beliau terhadap bidang Matematik amat signifikan.
Namun, adakah anda tahu apa yang terjadi kepada 1500 artikel dan kertas kerjanya?
Tiada apa. Kertas kerja dan artikelnya sudah lama dilupakan. Disimpan dalam arkib lama jurnal penyelidikan atau disimpan ke dalam kotak di bahagian bawah almari pencinta matematik dan itulah sebabnya kisah Paul Erdos merupakan contoh terbaik bagi “Equal Odds Rule”. Mari kita bincangkan tentang maksud peraturan ini dan cara peraturan ini boleh membantu mencungkil bakat kreatif anda.
Equal Odds Rule
Pada tahun 1977, seorang ahli psikologi terlatih dari Harvard bernama Keith Simonton, telah mencipta sebuah teori, Equal Odds Rule.
“Equal Odds Rule mengatakan bahawa bilangan purata penerbitan artikel seseorang saintis tidak mempunyai sebarang peluang untuk mendatangkan impak yang lebih banyak berbanding mana-mana saintis dengan purata penerbitan yang berlainan.” Dengan erti kata lain, mana-mana saintis mempunyai kemungkinan yang sama untuk mencipta karya yang memberi impak yang besar ataupun karya yang biasa-biasa sahaja dan mudah dilupakan.
Anda tidak boleh meramalkan kejayaan anda sendiri. Saintis, artis, pencipta, penulis, usahawan dan pekerja daripada semua bidang mempunyai kemungkinan yang sama untuk menghasilkan projek yang tidak berguna atau menghasilkan projek yang bagus.
Jika anda percaya “Equal Odds Rule”, maka kesimpulan yang boleh dibuat adalah bermain dengan nombor kerana anda tidak dapat meramalkan kejayaan anda. Strategi yang terbaik adalah untuk menghasilkan karya sebanyak mungkin, yang akan memberikan lebih banyak peluang untuk mencapai sasaran dan mencipta sesuatu yang bermakna.
Saya telah melihat “Equal Odds Rule” berlaku dalam pekerjaan saya sendiri setiap bulan. Saya menulis artikel baru setiap hari Isnin dan Khamis. Jika saya menulis artikel baru setiap Isnin dan Khamis, kira-kira 8 atau 9 artikel ditulis setiap bulan secara purata. Manakala jika saya menulis 8 atau 9 artikel setiap bulan, maka 2 atau 3 daripadanya akan menjadi cukup bagus.
Antara 2 atau 3, yang mana akan menjadi yang terbaik? Saya tidak tahu.
Selepas berpegang kepada jadual ini selama hampir dua tahun, telah menjadi sangat jelas kepada saya bahawa saya adalah seorang hakim yang agak teruk terhadap kerja saya sendiri. Perkara yang boleh saya lakukan ialah mencuba yang terbaik, komited melakukan semua kerja dan percaya jika saya berterusan melakukan suatu proses, ianya akan membuahkan hasil yang lumayan.
Kesediaan Untuk Gagal
Paul Erdos akhirnya mengetahui sesuatu yang ditemui oleh semua pencipta hebat iaitu genius kreatif hanya muncul apabila mereka menunjukkan usaha yang cukup untuk mengenepikan idea yang biasa. Dari masa ke masa, dari satu permasalahan ke permasalahan yang lain, Erdos setia mengerjakan karyanya. Selepas 1500 helaian kertas, ternyata dia mempunyai beberapa idea yang cukup bagus.
Jika anda ingin menyerlahkan kreativiti genius anda dan membuat perubahan, maka menerima idea di sebalik “Equal Odds Rule” ialah strategi yang berguna. Kadangkala anda akan mencipta sesuatu yang bagus. Kadangkala anda juga akan mencipta sesuatu yang tidak berguna. Namun begitu, anda harus sentiasa mencipta.
Be the first to comment