Tidak kira apa yang anda cuba lakukan untuk menjadi lebih baik, jika anda hanya bekerja apabila anda bermotivasi, maka anda tidak akan cukup konsisten untuk menjadi seorang profesional.
Keupayaan untuk mematuhi jadual dan melakukan pekerjaan setiap hari terutamanya apabila anda tidak merasakannya — adalah sangat berharga yang mana hanya itu yang diperlukan untuk menjadi lebih baik.
Saya telah mengalami sendiri pengalaman ini…
Apabila saya bersenam setiap hari, saya mendapat bentuk badan terbaik dalam hidup saya. Apabila saya menulis setiap minggu, saya menjadi seorang penulis yang lebih baik. Apabila saya keluar berjalan dan membawa kamera saya setiap hari, saya mengambil gambar yang lebih baik.
Cara Menjadi Seorang Profesional
Ia sangat mudah dan berkuasa. Tetapi mengapakah ia begitu sukar?
Menjalankan kerja anda seperti seorang profesional tidak mudah, tetapi ia juga tidak begitu rumit atau sukar seperti yang anda fikirkan. Terdapat tiga langkah untuk menjadi professional. Langkah-langkahnya adalah seperti di bawah ini.
1. Tentukan perkara yang anda ingin mahir.
Tujuan adalah segala-galanya. Jika anda tahu apa yang anda inginkan, maka untuk mendapatkannya adalah lebih mudah. Hal ini kedengaran mudah, tetapi berdasarkan pengalaman saya orang yang bijak, kreatif dan berbakat juga jarang mengetahui dengan tepat apa yang mereka usahakan dan tujuan mereka.
2. Tetapkan jadual untuk tindakan anda.
Sebaik sahaja anda tahu apa yang anda mahu lakukan, tetapkan jadual untuk melakukannya.
Nota: Jangan buat kesilapan sama yang saya lakukan, iaitu menetapkan jadual berdasarkan hasil. Jangan rancang berapa banyak berat yang anda mahu turunkan setiap minggu atau berapa banyak wang yang anda ingin hasilkan. “Turunkan 2 kg” bukanlah sesuatu yang anda boleh lakukan. “Lakukan tiga set squats” ialah tindakan yang boleh anda lakukan.
Anda mahu menetapkan jadual berdasarkan tindakan yang boleh anda lakukan, bukan hasil yang anda mahu dapatkan.
3. Mengikut jadual anda selama satu minggu.
Berhenti memikirkan betapa sukarnya untuk mengikuti jadual selama sebulan atau selama setahun. Ikuti sahaja untuk minggu tersebut. Jangan biarkan jadual terganggu selama tujuh hari akan datang.
Menetapkan jadual tidak menjadikan anda professional tetapi mengikut jadual itu menjadikan anda profesional. Jangan jadi penulis, terus menulis. Jangan jadi pengangkat, terus mengangkat. Selama satu minggu, lakukan perkara yang anda mahu lakukan tanpa membiarkan hal lain menjadi penghalang. Minggu seterusnya, mulakan lagi mengikut jadual.
Kuasa Jadual
Ira Glass ialah hos rancangan radio popular, This American Life, mempunyai 1.7 juta pendengar setiap minggu. Glass menyatakan perkara yang paling penting untuk seseorang menjadi kreatif ialah melakukan banyak kerja: “Perkara yang paling penting anda boleh buat ialah melakukan banyak kerja. Lakukan kerja yang banyak. Tetapkan tarikh akhir supaya setiap minggu atau setiap bulan anda tahu anda akan menyiapkan satu cerita. Hanya melalui kerja yang banyak kerja yang anda buat akan jadi sebaik impianmu.”
Jika anda ingin menghasilkan kerja kreatif anda yang terbaik, maka jangan biarkan ia bergantung kepada pilihan. Jangan bangun pada waktu pagi dan fikir, “Saya harap saya berasa terinspirasi untuk mencipta sesuatu hari ini.” Anda perlu membuat sesuatu keputusan. Tetapkan jadual untuk kerja anda. Genius hanya muncul apabila anda berusaha sehabis mungkin untuk mengenepikan idea yang biasa-biasa.
Cabaran Menjadi Seorang Profesional
Berusaha ke arah matlamat anda secara profesional adalah tidak mudah. Malahan, menjadi seorang profesional adalah suatu cabaran. Dengan erti kata lain, hampir setiap masa kita tidak konsisten. Kita mempunyai matlamat dan impian yang ingin kita capai, tetapi kita hanya berusaha kadang-kala untuk mencapai matlamat tersebut. Apabila kita berasa terinspirasi atau termotivasi atau apabila kehidupan membolehkan kita berbuat demikian. Ia lebih mudah dengan cara itu.
Saya boleh menjamin bahawa jika anda menetapkan jadual untuk sebarang tugas dan mula mematuhinya, akan ada hari anda rasa ingin berhenti. Apabila anda memulakan perniagaan, akan ada hari yang anda tidak mahu datang bekerja. Apabila anda berada di gim, akan ada set yang anda tidak mahu selesaikan. Apabila tiba masanya untuk menulis, akan ada laporan yang anda tidak mahu taip. Tetapi melakukannya juga walaupun berasa penat dan menyakitkan, itulah yang membuatkan anda seorang profesional.
Profesional berpegang pada jadual, amatur membiarkan masalah kehidupan menjadi penghalang.
Profesional tahu perkara yang penting bagi mereka dan berusaha ke arah itu, amatur pula membiarkan diri keluar daripada trek disebabkan oleh masalah kehidupan.
Be the first to comment