Pada tahun 1960, dua lelaki membuat pertaruhan. $50 digunakan dalam pertaruhan itu, tetapi berjuta-juta orang akan merasakan kesan daripada taruhan kecil ini.

Lelaki pertama, Bennett Cerf, adalah pengasas firma penerbitan, Random House. Lelaki kedua bernama Theo Geisel, tetapi anda mungkin mengenalinya dengan panggilan Dr. Seuss. Cerf mencadangkan pertaruhan dan mencabar Dr. Seuss tidak akan mampu menulis buku kanak-kanak yang menghiburkan menggunakan hanya 50 perkataan yang berbeza.

Dr. Seuss mengikuti pertaruhan tersebut dan menang. Hasilnya ialah sebuah buku kecil bernama Green Eggs and Ham. Sejak diterbitkan, Green Eggs and Ham telah terjual lebih daripada 200 buah juta salinan, menjadikannya karya Dr. Seuss yang paling popular dan antara buku kanak-kanak yang paling laris dalam sejarah.

Sekali pandang, anda mungkin fikir ini adalah kebetulan semata-mata. Seorang pengarang berbakat bermain dengan 50 perkataan dan akhirnya menghasilkan karya terlaris. Namun sebenarnya terdapat pengajaran yang bermakna dalam peristiwa ini yang boleh membantu kita menjadi lebih kreatif dan berpegang teguh pada tabiat yang lebih baik dalam jangka masa panjang.

Ini adalah yang boleh kita pelajari daripada Dr. Seuss…

Kuasa Kekangan

Apa yang Dr. Seuss temui melalui pertaruhan kecil ini ialah kuasa penetapan kekangan. Menetapkan batasan untuk diri sendiri — sama ada itu melibatkan masa untuk anda bersenam, wang yang anda ada untuk memulakan perniagaan, atau bilangan perkataan yang anda boleh gunakan dalam buku — selalunya membuahkan hasil yang lebih baik berbanding batasan yang tidak ditetapkan.

Malah, Dr. Seuss mendapati bahawa menetapkan beberapa batasan untuk bekerja adalah sangat berguna sehingga dia menggunakan strategi ini untuk buku lain juga. Contohnya, The Cat in The Hat itu ditulis dengan hanya menggunakan senarai kosa kata gred pertama.

Berdasarkan  pengalaman saya, saya telah melihat bahawa kekangan juga boleh memberi manfaat dalam skop kesihatan, perniagaan, dan kehidupan secara umum. Terdapat dua sebab mengapa ini berlaku.

1. Kekangan memberi inspirasi kepada kreativiti anda.

Jika tinggi anda lima kaki lima inci dan anda bermain bola keranjang, anda fikirkan cara yang lebih kreatif untuk menjaringkan gol daripada lelaki dengan tinggi enam kaki lima inci.

Jika anda mempunyai anak berumur satu tahun yang memenuhi hampir setiap minit hari anda, anda memikirkan cara yang lebih kreatif untuk bersenam.

Jika anda seorang jurugambar dan anda hadir ke penggambaran dengan hanya satu kanta, maka anda memikirkan cara yang lebih kreatif untuk menangkap keindahan subjek anda berbanding apabila anda lakukan dengan semua peralatan yang anda ada.

Batasan mendorong anda untuk memikirkan penyelesaian. Kekangan memberi inspirasi kepada kreativiti anda.

2. Kekangan memaksa anda untuk menyelesaikan sesuatu.

Kekangan masa telah memaksa saya untuk menghasilkan beberapa karya terbaik saya. Ini adalah sangat bertetapan dengan gaya penulisan saya. Setiap Isnin dan Khamis, saya menulis artikel yang baru walaupun ia menyusahkan.

Kekangan ini telah menyebabkan saya menghasilkan beberapa karya saya yang paling popular tanpa mengira tempat. Semasa saya duduk di kerusi penumpang dalam perjalanan melalui West Virginia, saya menulis artikel. Semasa saya melawat keluarga pada 4 Julai, saya menulis artikel. Apabila saya menghabiskan sepanjang hari keluar masuk dari lapangan terbang, saya menulis sebuah artikel.

Tanpa jadual saya (kekangan), saya akan menangguh menulis artikel tersebut ke hari yang berbeza. Atau tidak akan pernah menulis artikel tersebut sama sekali. Kekangan memaksa anda menyiapkan sesuatu tepat pada waktu dan tidak membenarkan anda melambatkan kerja tersebut. Inilah sebabnya saya percaya profesional menetapkan jadual untuk melakukan kerja mereka sementara amatur menunggu sehingga mereka berasa termotivasi.

Apakah kekangan yang anda tetapkan untuk diri anda sendiri? Apakah jenis jadual yang anda tetapkan untuk mencapai matlamat anda?

Nota berkaitan: Mematuhi jadual anda tidak semestinya perlu menjadi sesuatu yang hebat atau mengagumkan. Hanya komited pada proses yang anda boleh lakukan dengan konsisten. Dan jika perlu, kecilkan skop.

 

AUDIO